Thursday, March 23, 2006

Tips of the day - Mabuk Berbelanja

Mabuk Berbelanja!

Pelabur yang baik bukan sahaja bermaklumat dan membuat keputusan pelaburan yang betul berdasarkan maklumat, tetapi juga bijak menguruskan perbelanjaan. Tiada guna mempunyai portfolio pelaburan yang baik jika anda merosakkannya dengan perbelanjaan yang tidak perlu. Jika anda mengalami mana-mana senario yang dipaparkan di sini, kemungkinan besar anda termasuk dalam kategori “mabuk berbelanja”.

1. Akan dapat bonus yang BANYAK tak lama lagi

Anda mendengar khabar angin mengatakan syarikat tempat anda bekerja akan memberikan bonus yang banyak. Jadi, anda mula berbelanja besar, biasanya dengan menggunakan kad kredit. Akhirnya anda mengalami masalah kewangan kerana bonus yang diperoleh jauh lebih sedikit daripada yang dijangkakan, atau lebih buruk lagi, tiada bonus langsung!

Jika anda seorang yang mabuk berbelanja, anda tidak keseorangan. Banyak orang yang bersusah payah cuba mengawal tabiat berbelanja mereka dan tidak tahu bagaimana hendak membatasinya. Membeli-belah dan berbelanja merupakan petunjuk zaman moden mengenai tabiat lama manusia yang gemar berburu dan berkumpul. Bezanya, kini “perburuan” kita bukan untuk mendapatkan haiwan besar zaman purba, sebaliknya kita ke kompleks membeli-belah untuk “memburu” barangan. Ini merupakan satu masalah tetapi kita boleh mengatasinya. Langkah paling besar yang boleh diambil ialah menyedari diri kita mempunyai masalah tersebut dan cari jalan atau dapatkan bantuan untuk mengatasinya. Untuk mereka yang “mabuk berbelanja”, mari kita sambut Tahun Baru ini dengan membuat resolusi untuk merancang perbelanjaan dan menguruskan hutang dengan lebih baik.

2. Tidak pernah menerima "didikan awal mengenai kewangan"

Tiada siapa yang mengajar anda menguruskan kewangan anda dan anda pula tidak mengambil berat untuk belajar atau meminta bantuan. Moto anda dalam hidup ini mudah sahaja iaitu kerja keras dan berbelanja besar.

3.Meneruskan gaya hidup

Jika anda biasa hidup mewah atau sentiasa mengikut trend, anda berasa perlu mengekalkannya walaupun ketika menghadapi masalah kewangan. Jadi, anda terus berbelanja.

4.Perkataan "merancang perbelanjaan" tiada dalam perbendaharaan kata anda

Anda tidak merancang perbelanjaan atau anda mempunyai perancangan tetapi tidak menghiraukannya. Berbelanja atas barang-barang yang anda suka tanpa mengambil kira sama ada anda mampu membelinya menyebabkan anda mengalami masalah kewangan. Kebanyakan orang mengalami masalah kewangan bukan kerana mereka merancang untuk gagal tetapi kerana gagal merancang. Apakah anda salah seorang daripadanya?

5.Menjadi pengikut setia iklan

Anda menyelak helaian halaman sebuah majalah dan terbaca iklan mengenai telefon bimbit atau fesyen terbaru. Anda tidak dapat menahan diri daripada memiliki barangan terbaru itu dan akhirnya menjadi iklan bergerak bagi barangan tersebut.

6.Musim perayaan sudah tiba!

Antara keseronokan berada dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ialah perayaan sepanjang tahun. Sejak beberapa minggu sebelum musim perayaan, orang Malaysia sentiasa memikirkan yang BARU! Anda juga tidak terkecuali. Ini bermakna membeli barangan baru seperti sofa baru, langsir baru atau baju baru, walaupun yang ada masih elok lagi.

7.Gila Kad Kredit

Kini terlalu mudah memperoleh kad kredit dan keinginan berbelanja menggunakan kad sentiasa ada. Berbelanja menggunakan kad kredit selalu membuat anda berasa mempunyai lebih banyak wang daripada yang sebenarnya dan ini mendorong anda berbelanja lebih.

8.Terlalu banyak jualan MEGA

Sepanjang bulan jualan “MEGA” Malaysia, seluruh negara sakan berbelanja dan anda boleh turut terikut-ikut dengan angin membeli-belah. Lagipun, diskaun sehingga 60 atau 70 peratus hanya datang sekali-sekala dan anda berbelanja tanpa terkawal walaupun ke atas barangan yang tidak perlu.

No comments: